KUALA LUMPUR, 28 Mac- Rekod pengemaskinian maklumat individu dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat tengah malam tadi mencapai 8.79 juta individu.
Menerusi data pentadbiran menunjukkan kira-kira 30.08 juta individu yang berumur dari kosong tahun dan ke atas berada dalam sistem berkenaan.
Sementara itu menurut data sama kira-kira 21.97 juta bilangan warganaegara yang berumur 18 tahun dan ke atas berada dalam sistem itu.
PADU dalam satu hantaran menerusi X menunjukkan negeri Selangor mendahului pendaftaran berkenaan diikuti Johor, Sarawak, Perak, Sabah, Kedah, Wilayah Persekutan Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Putrajaya dan Labuan.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam satu kenyataan di facebook berkata, sistem data berkenaan membolehkan kerajaan mengenal pasti isi rumah yang layak mendapat bantuan dan dipadankan dengan program-program kerajaan.
"PADU akan membolehkan kita pergi mencari rakyat yang memerlukan bantuan, bukan menunggu rakyat datang mencari kita.
"Jika kita boleh ubah keadaan ke arah itu dan mengurangkan keciciran dalam masyarakat, kita telah bantu banyak keluarga yang sebelum ini tercicir," katanya.
Bagaimanapun orang ramai masih boleh mendaftar ke dalam sistem PADU menerusi www.padu.gov.my atau boleh hadir ke kaunter PADU berhampiran sebelum berakhir pada 31 Mac ini.
Perkara itu bagi mengelakkan individu dalam kumpulan yang tepat daripada tertinggal untuk menerima bantuan daripada kerajaan.