fb fb fb fb fb

Cuaca panas, peniaga bazar Ramadan dinasihat minum air mencukupi

Foto Hiasan

BANDARAYA MELAKA, 28 Mac- Peniaga di bazar Ramadan disaran minum air masak yang mencukupi susulan cuaca panas selain tidak mendedahkan diri secara langsung di bawah terik matahari.

Pakar Perubatan Dalaman, Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Perubatan Oriental Melaka Straits, Dr Mohd Hanizam Jaafar mencadangkan bahawa peniaga juga boleh meletakkan tuala basah di leher bagi menyejukkan badan sekali gus mengurangkan risiko strok haba.
 
Kaedah sama juga disaran kepada orang ramai dengan pekerjaan yang terdedah kepada cahaya matahari.
 
"Strok haba itu adalah satu keadaan yang dikategorikan sebagai kecemasan di mana badan kita sudah tidak mampu untuk menstabilkan suhu badan kita pada 37 darjah celcius."

"Ia disebabkan oleh tiga faktor iaitu gelombang haba, fizikal dan aktiviti kita seperti berniaga di bazar Ramadan. Sebagai contoh kerja sebagai anggota polis trafik dan buruh, bekerja di bawah terik matahari," kata Dr. Mohd Hanizam kepada pemberita.

Tambah beliau, antara bantuan awal yang boleh diberikan kepada mereka yang mengalami strok haba ialah memberi minuman, menyejukkan badan mangsa dengan tuala basah serta menghubungi talian kecemasan untuk rawatan lanjut.
 
Terdahulu, Kementerian Kesihatan memaklumkan, sebanyak 28 kes penyakit berkaitan haba dilaporkan selain satu kematian akibat strok haba, setakat 25 Mac lalu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM