fb fb fb fb fb

Pengecualian dasar kabotaj dilaksana bagi kapal asing

Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA, 1 Mac- Kerajaan setuju melaksanakan pengecualian dasar kabotaj bagi kapal-kapal asing yang terlibat dalam semua kerja baik pulih kabel dasar laut.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, ia merupakan keputusan Jemaah Menteri hari ini demi menarik lebih banyak pelaburan asing industri pusat data sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Namun tarikh kuat kuasa dasar tersebut akan diumumkan pada Mei depan.

"Keputusan ini adalah susulan daripada pelbagai sesi libat urus dengan syarikat-syarikat gergasi teknologi maklumat antarabangsa dalam tempoh beberapa bulan yang lalu dan membuktikan kerajaan madani mengamalkan dasar mesra pelabur," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.

Dalam pada itu Anthony Loke berkata Jemaah Menteri hari ini turut bersetuju pelaksanaan semula dasar kabotaj untuk kapal yang menjalankan perkhidmatan kargo dari Semenanjung ke Sarawak. 

"Pengecualian Dasar Kabotaj untuk Sarawak telah pun membantutkan perkembangan industri perkapalan khususnya di negeri itu sebelum ini ada 12 syarikat perkapalan Malaysia yang aktif dalam perkhidmatan kargo tetapi selepas beberapa tahun ini, tinggal hanya lima syarikat yang aktif dan Dasar Kabotaj perlu dilaksanakan semula," katanya.

Bagaimanapun pengecualian dasar kabotaj untuk kapal-kapal yang menjalankan perkhidmatan kargo dari Semenanjung ke Sabah dan Labuan pula dikekalkan selaras pendirian kerajaan Sabah.

Dalam perkembangan lain dasar promosi Pelabuhan Klang sebagai National Load Center (NLC) pada tahun 1990-an tidak lagi terpakai.

Anthony Loke berkata keputusan untuk tidak menggunakan dasar itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini; memandangkan pelabuhan tersebut kini telah mengendalikan kontena tempatan untuk import dan eksport telah melebihi enam juta unit bersamaan 20 kaki (TEU).

"Ini juga buat kali pertama Kementerian Pengangkutan membuat pengumaman ini kerana memang ada pelbagai persepsi yang tidak begitu tepat khususnya di Sabah yang merasakan bahawa kapal-kapal asing tidak pergi ke pelabuhan di negeri itu kerana kita ada dasar NLC ini.

"Maka mana-mana pelabuhan boleh dijadikan sebagai pelabuhan loading atau boleh dipanggil mana-mana syarikat perkapalan secara terus 'keputusan untuk singgah di mana-mana pelabuhan Malaysia adalah dibenarkan dan tertakluk kepada keputusan komersial syarikat perkapalan tersebut," katanya.

Bagaimnapaun Antony Loke turut menegaskan bahawa semua kapal asing boleh menyediakan perkhidmatan perkapalan secara terus dari pelabuhan asing ke mana-mana pelabuhan di Sabah, Sarawak dan Labuan untuk mengangkut barangan import atau eksport.

Selain itu, Jemaah Menteri juga bersetuju secara prinsip dengan cadangan peluasan Had Pelabuhan Desaru dan penentuan kawasan had pelabuhan Desaru yang baharu adalah tertakluk kepada kajian Majlis Keselamatan Negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI