KUALA LUMPUR, 11 Oktober – Pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mahasiswa cemerlang disifatkan sebagai langkah tepat dalam memupuk semangat dan motivasi pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan akademik.
- Pengecualian bayaran balik PTPTN untuk graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana.
- Langkah ini dianggap sebagai motivasi penting untuk meningkatkan usaha dan kecemerlangan akademik mahasiswa.
- Memberi kelegaan kewangan khususnya kepada pelajar dari keluarga B40 semasa tempoh pengajian.
- Program dijangka memanfaatkan sekitar 6,000 peminjam dengan peruntukan tahunan RM90 juta.
Presiden Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), Saiful Azhar Shaharun berpandangan, langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 itu juga memberi kelegaan besar kepada pelajar, terutama daripada keluarga B40 yang berdepan cabaran kewangan sepanjang tempoh pengajian.
“Langkah ini penting sebagai satu bentuk motivasi kepada mahasiswa untuk belajar dengan lebih tekun. Pada masa yang sama memberi kelegaan kepada pelajar yang cemerlang, khususnya daripada keluarga B40,” katanya selepas Mesyuarat Agung Persekutuan Alumni UiTM Malaysia dan Peluncuran Tabung Pendidikan dan Biasiswa Alumni UiTM di ibu negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam, mengumumkan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua mahasiswa yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama di Institut Pengajian Tinggi Awam dari keluarga pendapatan rendah dan menengah.
Insentif itu dijangka memanfaat kira-kira 6,000 peminjam dengan peruntukan RM90 juta setahun.