KUALA LUMPUR, 20 Disember – Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewajibkan perkhidmatan pesanan internet serta platform media sosial didaftarkan sebagai pemegang lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (ASP) mulai 1 Januari depan disifatkan sebagai satu tindakan tepat bagi memperkukuh keselamatan dalam talian.
Langkah itu dilihat penting khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan institusi keluarga daripada pelbagai risiko digital yang semakin kompleks.
Penganalisis Politik dan Media Sosial, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berpandangan pengawalseliaan tersebut perlu dilihat secara menyeluruh kerana kegagalan platform mematuhi peraturan boleh memberi kesan besar terhadap ekonomi, pendidikan serta pengguna media sosial.
Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy/Foto RTM
“Justeru, ibu bapa perlu dididik mengenai literasi digital dan pada masa yang sama dibimbing tentang potensi risiko penggunaan media sosial. Ini termasuk galakan terhadap tingkah laku bertanggungjawab serta memperkasakan keupayaan membuat pilihan tetapan privasi yang selamat,” katanya kepada RTM.
Beliau turut menegaskan keperluan membimbing pengguna, khususnya ibu bapa dan kanak-kanak, ke arah tingkah laku bertanggungjawab dalam talian, termasuk kesedaran terhadap kawalan privasi dan keselamatan data peribadi.
Dalam pada itu, Dr Sara menjelaskan penyedia platform juga memikul tanggungjawab penting melalui pelaksanaan algoritma yang lebih terkawal, pemantauan kandungan berbahaya serta penyediaan mekanisme pelaporan yang jelas dan berkesan.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan kempen keselamatan siber perlu disokong oleh kerangka penilaian yang tersusun bagi menilai impak sebenar penggunaan media sosial dari semasa ke semasa, selari dengan perkembangan pesat teknologi dan penggabungan pelbagai fungsi digital dalam satu platform.
“Kanak-kanak merupakan kumpulan yang sangat terdedah kerana impak media sosial berlaku dengan pantas dan dipengaruhi oleh tahap pemikiran serta corak penggunaan mereka sendiri,” jelasnya.
Beliau turut berpandangan pendekatan pengawalseliaan yang dilaksanakan Malaysia adalah selaras dengan amalan antarabangsa, dengan beberapa negara termasuk Australia dijadikan rujukan dalam aspek perlindungan kanak-kanak dalam talian.
Menurutnya, lebih 18 negara telah melakukan pengubahsuaian terhadap operasi platform tertentu seperti TikTok, khususnya bagi menangani isu pornografi, penderaan kanak-kanak dan buli siber.
“Secara keseluruhan, klasifikasi dan kawal selia ini memperkukuh akauntabiliti platform digital serta meningkatkan perlindungan pengguna, terutama kanak-kanak dan keluarga,” katanya.