KUALA TERENGGANU, 20 Disember – Penyakit kanser kekal sebagai punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia dengan kos rawatan mencecah sehingga RM50,000 setahun bagi setiap pesakit.
Presiden Persatuan Pengurusan Kanser Malaysia, Mohd Amin Ali Mohd Sidik berkata, lebih 50,000 kes baharu kanser direkodkan setiap tahun, sekali gus menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.
Menurut beliau, kebanyakan pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit dikesan pada peringkat tiga dan empat, menyebabkan peluang rawatan menjadi lebih sukar.
“Kanser payudara merupakan kes tertinggi dan masih menjadi pembunuh utama dalam kalangan wanita di negara ini,” katanya.
Tambah Mohd Amin, peningkatan kes kanser turut dipengaruhi oleh tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah terhadap faktor risiko penyakit tersebut.
Berdasarkan rekod, hanya tiga daripada 10 responden menunjukkan minat untuk mendapatkan pendidikan berkaitan kanser.
“Angka 50,000 kes baharu setiap tahun amat merisaukan. Kajian Persatuan Cancer Care mendapati punca utama peningkatan kes adalah kurang kesedaran serta sikap tidak mengambil berat terhadap kesihatan ketika masih sihat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Malaysia Lawan Kanser di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata selain faktor tradisional, faktor bukan tradisional termasuk gaya hidup tidak sihat turut menyumbang kepada peningkatan penyakit kanser.
Sehubungan itu, orang ramai disaran agar lebih peka terhadap gaya hidup sihat dan mengambil peluang menjalani pemeriksaan awal bagi mengurangkan risiko penyakit berkenaan.