fb fb fb fb fb

Pengarah syarikat didakwa guna penyata bank palsu

(Ahmad Faiz Fikrey Izani ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 20 September- Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan penyata bank palsu, empat tahun lalu.

Ahmad Faiz Fikrey Izani, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan penyata Maybank Islamic yang palsu bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018 atas nama syarikat miliknya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat melaporkan diri sebulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga serta dua anak kecil.

Hakim Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 29 November ini untuk sebutan kes.

(Ahmad Faiz Fikrey Izani (kiri) ketika hadir di Mahkamah Kuala Lumpur)

Media Baharu