Kajian yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan pada 31 Julai 2022 adalah dari tahun 2019 dan berterusan hingga 2021 adalah antara tahun-tahun negara berada dalam keadaan kritikal di mana ekonomi negara terjejas teruk akibat penularan COVID-19.
Statistik menunjukkan bahawa lebih 70 peratus atau 390,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tidak berminat menyambung pelajaran bukanlah satu statistik yang harus dipandang remeh oleh orang ramai.
Trend semakin membimbangkan apabila empat daripada 10 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru tamat sesi persekolahan 2022 yang ditemui tidak berhasrat untuk menyambung pengajian ke universiti awam kerana kos sara hidup tinggi selain kecenderungan untuk kerja dan memiliki wang sendiri serta membantu keluarga yang terdiri daripada golongan B40.
Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Azirin Abdul Aziz melapurkan bahawa pengambilan pelajar politeknik dan kolej komuniti telah mengalami penyusutan sebanyak 12.8 peratus.
Antara bidang yang mengalami penurunan adalah berkaitan dengan kejuruteraan; didapati bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kurang diminati pelajar sejak di peringkat sekolah lagi.
Penyusutan jumlah pelajar tersebut dipercayai ada kaitan dengan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tambahan pula dengan keadaan sosio ekonomi keluarga mendorong pelajar lebih cenderung untuk bekerja berbanding menyambung pelajaran.
Paling mendukacitakan adalah isu kemerosotan motivasi belajar dalam kalangan pelajar akibat tahap kepuasan pembelajaran yang menurun. Dr Maszlee Malik telah menyuarakan pendapat bahawa rakyat memerlukan sistem pendidikan pasca pandemik COVID-19 yang bersifat holistik dan komprehensif dengan mengambil kira keperluan untuk melakukan penetapan terbaik ‘great reset’ untuk pendidikan dan kurikulum demi masa depan rakyat dan negara.
Beliau telah mengemukakan polisi yang terbahagi kepada dua bab atas hasil libat urus pakar-pakar kesihatan, pendidikan serta pihak yang prihatin terhadap pendidikan negara.
Bab pertama ialah berkaitan isu-isu pendidikan yang timbul sewaktu wabak melanda dan syor jalan keluar bagi semua masalah tersebut.
Bab kedua pula ialah pembentangan pelan pemulihan jangka masa panjang untuk isu pendidikan dengan mengemukakan solusi yang tuntas demi menghadapi dunia IR (Revolusi Industri) 4.0 yang lebih mencabar dan juga dunia pasca COVID-19 yang memerlukan pendekatan luar biasa dan bukan konvensional.
Berdasarkan tinjauan yang dibuat, didapati terdapat segelintir pelajar tidak mahu pulang ke kampus kerana mempunyai pekerjaan, mempunyai kewajipan menguruskan sosioekonomi keluarga, menguruskan ahli keluarga sakit dan mendirikan rumah tangga.
Trend kurang minat menyambung pelajaran ini sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada masa hadapan negara walaupun jika dilihat angka peratus penurunan tersebut tidaklah besar mana pun.
Namun begitu, untuk tempoh masa yang panjang hasrat untuk menjadikan negara kita Malaysia sebuah negara maju akan terjejas. Ini adalah kerana kebolehpasaran kerja graduan politeknik dan kolej komuniti adalah melebihi 90 peratus.
Sekiranya pelajar tidak berminat untuk menyambung pelajaran, ia akan memberi kesan kepada industri bagi mengambil tenaga kerja separa mahir yang selama ini dimonopoli oleh graduan politeknik dan kolej komuniti.
Oleh
Norhayati Binti Abdul Hamid
Pensyarah
Jabatan Perdagangan
Politeknik Seberang Perai.
Ts Dr Mazidah Mat Rejab
Pensyarah Kanan
Jabatan Kejuruteraan Perisian
Universiti Tun Hussein Onn , Batu Pahat
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.