fb fb fb fb fb

Lebih 100 ekor anak penyu dilepaskan menerusi program khidmat masyarakat UiTM

Para peserta pada program khidmat masyarakat di kawasan Pantai Tanjung Bidara

KUALA LUMPUR, 9 November -Lebih seratus ekor anak penyu baru menetas dilepaskan  ke perairan negara sekitar kawasan jeti Pantai Tanjung Bidara, Melaka lokasi kebiasaan reptilia berkenaan datang semula ke pantai untuk bertelur.

Pelepasan dijalankan sekumpulan 74 orang pelajar tahun empat, Sarjana Muda Pembedahan Pergigian Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sungai Buloh, Selangor bersama-sama anak-anak dari Pasti Luqman Al Hakim.

Program khidmat Masyarakat itu merupakan sebahagian daripada program “Karnival Dental Sure Havoc 2.0” anjuran Pusat Pengajian Sains Praklinikal Fakulti Pergigian UiTM dengan kerjasama Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM.

“Karnival yang diadakan buat kali kedua bertujuan memupuk semangat keusahawanan dan kesukarelawan dalam kalangan pelajar pergigian UiTM. Pada edisi kali ini, kami telah menjalankan aktiviti penjualan barangan terpakai sebagai elemen keusahawanan, dan memilih komuniti di Masjid Tanah, Melaka sebagai lokasi khidmat masyarakat untuk elemen kesukarelawanan,” jelas Ahmad Arham Hakimi Azhar, pengarah program.

0911 ANAK PENYU1
Anak-anak penyu yang dilepaskan di Kawasan Pantai Tanjung Bidara/Foto UiTM

Aktiviti khidmat masyarakat selama sehari di Pantai Tanjung Bidara, Melaka dimulakan dengan aktiviti berkumpulan bersama anak-anak dari Pasti Luqman Al Hakim, dan diakhiri dengan aktiviti di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu.

“Bersama anak-anak Pasti, kami telah melakukan aktiviti berasaskan STEM. Kami berkongsi mengenai kepentingan memelihara alam sekitar melalui usaha konservasi penyu. Kami juga turut menjalankan permainan rakyat di persisiran pantai bersama mereka.

“Selain itu, kami turut meluangkan masa di Pusat Konservasi Penyu dengan membersihkan kolam dan mengecat mural bagi memperindah kawasan sekeliling,” terang Ahmad Arham Hakimi.

“Saya berterima kasih kepada pelajar-pelajar ini yang sudi dating menganjurkan program ini. Saya pasti usaha yang kecil ini amat besar maknanya kepada kami yang berusaha membina semula populasi penyu di perairan negara kita,” kata Muhammad Hanis Rosli, salah seorang kakitangan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Masjid Tanah.  

MAT YUNUS BIN SABRI