fb fb fb fb fb

Pengambilan anggota: ATM tak tetapkan kuota kaum

(FOTO RTM)

KUALA LUMPUR,13 April-Angkatan Tentera Malaysia, tidak pernah menetapkan kuota kaum bagi pengambilan anggota.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata pengambilan dibuat dua kali dalam setahun melibatkan pengambilan dengan jumlah 6,000 hingga 7,000 anggota.

"ATM tidak mengenakan sebarang kuota mengikut kaum. Peratusan penyertaan bukan bumiputera amat rendah dalam ATM.

"Mereka nampak ada kerja lain seperti berniaga yang memberikan dan menjanjikan pulangan yang lumayan...jadi ia bukan disebabkan tidak ada pelan persaraan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2023 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu peratusan rendah golongan bukan bumiputera yang menyertai ATM.

Jelasnya, ATM mempunyai pelbagai perancangan bagi mempersiap anggota untuk persaraan, antaranya kursus peralihan yang dianjurkan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera.

Selain itu, pelbagai perancangan dibuat untuk menarik golongan bukan bumiputera menyertai ATM antaranya membuka permohonan secara dalam talian dan mengadakan jerayawara di seluruh negara.


(Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan/FOTO RTM)

Media Baharu