SETIU, 19 Disember- Enam pengamal media pelbagai agensi berita di Terengganu berdepan detik cemas kerana terkandas selepas membuat liputan di beberapa kawasan banjir di negeri itu.
Menurut pengamal media, Zatul Iffah Zolkiply, dia membuat liputan banjir di daerah Setiu sejak pagi semalam.
Bagaimanapun, ketika berada di Kampung Besut, Setiu paras air semakin meningkat.
Malah, kebanyakan laluan utama mula ditutup kepada semda kenderaan kerana ditenggelami air.
"Sebelum ni memang banyak kali terlibat dengan liputan banjir tetapi belum pernah terkandas sampai tidak boleh balik ke bandar.
"Semua penginapan penuh termasuk PPS. Saya dengan tiga rakan yang lain terpaksa tidur dalam kereta sehelai sepinggang. Sekarang ni keadaan di Setiu masih hujan dan laluan masih ditutup. Mungkin kami terpaksa bermalam sehari lagi di sini," katanya ketika ditemui RTM.
(Nur Falizai Omar)
Bagi Nur Falizai Ali@Omar, "kami tiba di Setiu kira-kira pukul 11.00 pagi semalam dan pada ketika itu air berada pada paras biasa."
Menurutnya, kira-kira pukul 8.00 malam selepas selesai melakukan tugasan; "kami mengambil keputusan untuk mengambil laluan untuk ke Kuala
Terengganu bersama tiga lagi rakan. Namun terpaksa menunggu sehingga air surut sekitar pukul 1.00 pagi.
"Bagaimanapun penantian kami berakhir dengan memilih untuk berada di PPS berdekatan untuk tumpang berteduh dan berehat seketika," jelasnya ketika ditemui.
Selain itu, Khairul Fikri Osman turut berkongsi pengalamannya ketika melakukan tugas pada musim banjir kali ini, "sebelum ni persediaan seperti pakaian dan peralatan yang diperlukan telah disediakan. Namun apabila kehabisan beteri telefon, terpaksa ke PPS untuk mendapatkan bekalan elektirk.
"Jadi apabila untuk melaksanakan kerja, agak sukar sebab kita kena berkongsi dengan penduduk terjejas banjir di PPS," jelasnya di sini.
Kesemua mereka terpaksa berpatah balik ke pusat pemindahan sementara,berdekatan kerana air menenggelamkan laluan utama dengan cepat .