TUMPAT, 19 Disember- Tiga beradik perempuan maut terkena renjatan elektrik di hadapan rumahnya di Kampung Bendang Surau, Morak, tengah hari tadi.
Mohd Amin Mohd Nadzir berkata, "sebelum kejadian saya bersama tiga orang kakak berada di luar rumah untuk melihat keadaan banjir yang berlaku."
Kemudian selepas beberapa saat, "saya masuk ke dalam rumah dan kemudian keluar semula. Saya terkejut melihat kakak, Noor Fathiah Mohd Nadzir, 27 tergelincir da jatuh ke dalam air."
Susulan itu, kedua-dua kakaknya cuba untuk menyelamatkan Noor Fathiah namun mereka juga terjatuh dan turut terkena renjatan elektrik.
Ketika ditemui pemberita Mohd Amin menceritakan detik selepas kejadian, "jiran turut berpesan supaya tidak pergi ke tempat kejadian yang menimpa tiga orang kakak saya. Kalau saya pergi juga, mungkin sayalah mangsa ke-4."
Katanya, ketiga-tiga kakaknya itu keluar untuk meninjau keadaan banjir namun berakhir dengan tragedi.
Ketika kejadian, ibunya Zainun Sulaiman sedang tidur selepas menunaikan solat Dhuha sebelum dikejutkan dengan berita kematian tiga anak perempuannya.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata selain Noor Fathiah; Sakinah, 29, dan Nurul Syazwani, 33, meninggal dunia di tempat kejadian.
"Ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang berjalan kaki mengharungi banjir melalui hadapan sebuah rumah tersebut, namun kebocoran pendawaian menyebabkan ketiga-tiga mangsa terkena renjatan elektrik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mayat ketiga-tiga mangsa itu dibawa ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat.
(Muhamad Zaki Harun)