fb fb fb fb fb

Penerima SARA luah rasa syukur, manfaatkan untuk keperluan harian

Foto fail BERNAMA

KLANG, 26 Disember - Rakyat Selangor yang menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA), rata-ratanya menggunakan inisiatif kerajaan itu dengan sebaik mungkin, termasuk memanfaatkan sumbangan berkenaan untuk pembelian keperluan harian.

Malah berharap pemberian seumpama itu diperluaskan lagi supaya boleh digunakan untuk barangan lain pada masa hadapan.

Dengan kos sara hidup yang tinggi, mereka menyifatkan SARA dapat meringankan beban kewangan isi rumah.

Norazli Abd Wahab antara penerima SARA melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan kerajaan, yang membantu meringankan beban kewangan isi rumah.

"Alhamdulillah, saya sudah menerima SARA. Terima kasih kepada kerajaan kerana sumbangan ini dapat meringankan beban saya dan keluarga," katanya.

Seorang lagi penerima, Azmah Mahmud, menyifatkan bantuan itu sebagai penting terutama untuk keperluan makanan, namun menekankan kepentingan berdikari.

"Kita jimat-jimat, jangan hanya mengharap bantuan sahaja. Kita kena berdikari juga," tegasnya.

Turut sependapat, Siti Aishah Ahmad yang memaklumkan keluarganya memanfaatkan bantuan SARA untuk keperluan harian meliputi kelengkapan sekolah anak-anak, yang amat membantu dalam kehidupan seharian.

EZA YUSMAWATI YAACOP