PUTRAJAYA, 20 Oktober- Sebanyak RM3 juta dana disasarkan menerusi terbitan al-Quran 'Mushaf Palestin' edisi Khas berbahasa Inggeris sebagai usaha membantu rakyat Palestin di Gaza.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata usaha itu meliputi bantuan daripada aspek perubatan, makanan, pembinaan sekolah dan masjid.
Jelasnya, sebanyak 30,000 cetakan dibuat dengan jualan RM100 senaskah.
Usaha terbabit merupakan kerjasama antara Yayasan Restu dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang komited dalam misi bantuan di Palestin.
"Kita sasarkan kutipan RM3 juta daripada usaha ini dan rakyat boleh menggunakan aplikasi yang diadakan untuk menderma daripada RM1, kalau RM100 akan dapat bersama senaskah al-Quran edisi Palestin dengan terjemahan Bahasa Inggeris.
Seluruh hasil pemberian naskah itu akan kita edarkan ke Palestin, insyaAllah," kata Ahmad kepada pemberita selepas melancarkan edisi khas mushaf itu di Kompleks Nasyrul Quran, di sini.
(FOTO BERNAMA)
Datuk Seri Ahmad Maslan turut menyeru agar semua yayasan di negara ini untuk turut serta dan menyambut baik usaha berkenaan.