MUALLIM, 20 Oktober- Tiga wanita maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 390 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata insiden dipercayai berlaku ketika sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki hilang kawalan dan berpusing sebelum terbalik ke dalam longkang di kiri jalan.
"Lelaki tersebut kemudian dibantu dua penunggang motosikal dan dua kereta dinaiki empat mangsa yang berhenti di lorong kecemasan.
"Berselang lima minit kemudian, sebuah kereta dari arah sama hilang kawalan dan melanggar kesemua mangsa yang berada di lorong kecemasan sebelum terhumban ke dalam longkang di kiri jalan.
"Dua daripada mangsa dikenali sebagai Fatihah Nabila Bukri, 23 tahun dan Taibah Sulaiman berusia 61 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Seorang lagi mangsa, Nurul Najihah Azmi, 27 tahun, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Slim River," katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, tiga mangsa cedera, manakala dua lagi selamat.
