fb fb fb fb fb

Penerbangan pertama jemaah haji 31 Mei

BUKIT GANTANG, 5 Mei - Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia ke Mekah dijadual, 31 Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memberitahu segala persiapan bagi urusan tersebut berjalan lancar.

Pihaknya juga sedang menunggu jemaah menjawab surat tawaran yang dihantar Lembaga Tabung Haji (TH) pada 24 April lepas.

"Sudah keluar 24 April dan kita sedang menunggu untuk mereka membalas yang mengesahkan hendak pergi, mereka akan membuat persiapan seperti menyediakan pasport antarabangsa, lengkap vaksin dan mempunyai kesihatan yang baik.

"Insya-Allah program berjalan dengan baik dan dijangka penerbangan awal pada 31 Mei," katanya.

(Idris ketika ditemui pemberita di Kampung Sungai Petai, hari ini)

Beliau ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Kampung Sungai Petai, hari ini.

Dilaporkan kuota jemaah haji Malaysia adalah seramai 14,306 individu, tahun ini.

Jumlah jemaah yang akan menyertai penerbangan pertama dan terakhir sedang dibuat penjadualan semula oleh TH.

Mengenai rayuan kuota haji pula, Idris menyatakan akan membawa surat rayuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diserahkan kepada Raja Salman Abdulaziz dalam tempoh terdekat.

Media Baharu