fb fb fb fb fb

20 ekor gajah liar cerobohi kawasan petempatan penduduk di Kampung Kuala Sat, Jerantut

(Foto hiasan)

JERANTUT, 5 Mei - Kira-kira 20 ekor gajah liar telah menceroboh masuk kawasan petempatan penduduk dan memusnahkan sebuah rumah ibu tunggal di Kampung Kuala Sat, dekat Jerantut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah berkata, ketika kejadian ibu tunggal tersebut tinggal berseorangan.

Anaknya, Azila Yaakob, 35 tahun, tiada di rumah kerana berhari raya di rumah saudara di Taman Negara Kuala Tahan, sejak Ahad lalu.

Menurutnya, kumpulan gajah liar mula dikesan berada di sekitar kawasan rumah ibu tunggal itu sejak 12.30 tengah malam tadi sebelum bertindak memecahkan pintu dan tingkap serta berada di sekitar kediaman berkenaan hingga jam 4 pagi.

"Penduduk kampung mengambil langkah mengguna tayar terpakai untuk menghalau kumpulan gajah bagi mengelak berlakunya pencerobohan ke kawasan kediaman yang lain," kata Abdul Jabar ketika mengiringi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar menziarahi rumah mangsa, Zainab Musa, 55 tahun, dan menyampaikan bantuan di kampung tersebut hari ini.

(Kira-kira 20 ekor gajah liar telah menceroboh masuk kawasan petempatan penduduk)

Katanya, renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah dimaklumkan berkaitan kejadian itu dan datang ke lokasi untuk menghalau haiwan liar itu keluar dari kampung tersebut.

Sementara itu, ibu tunggal, Zainab berkata, dia terkejut apabila mendapati pintu dan tingkap rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang diduduki sejak beberapa tahun lalu serta peralatan perabot dan dapur habis musnah dirosakkan oleh kawanan gajah liar itu.

Menurutnya, kumpulan haiwan liar itu pernah dikesan berada di sekitar kawasan rumah dengan meninggalkan tompokan najis bertaburan.

Dia dan keluarga kini terpaksa menumpang di rumah saudara di kampung yang sama.

Sementara itu, Nazri Ngah memberikan jaminan untuk membantu ibu tunggal tersebut membina rumah baharu PPRT menerusi peruntukan kerajaan negeri dengan segera.

Media Baharu