fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir terima kunjungan PM

KELANTAN, 21 Disember- Penduduk terjejas banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, terharu menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Menurut penduduk, kesudian pemimpin nombor satu negara meninjau keadaan mereka, memberi kelegaan dan membuka ruang bagi mereka menyuarakan masalah yang dihadapi.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Penduduk menyifatkan lawatan Perdana Menteri sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan beliau kepada nasib mereka.

“Terima kasih pada Datuk Seri Anwar hadir ke Sekolah Panglima Raja di Pasir Mas perasaan gembira kami semua orang kampung di sini kerana Perdana Menteri turun juga ke sini. Terima kasih banyak-banyak PM," kata penduduk, Mat Din Mat Zain di sini.

“Saya berasa gembira apabila Perdana Menteri hendak turun ke kawasan banjir ini. Kami rasa susah hati dengan situasi banjir ini," kata penduduk, Sharifah Fatimah Syed Abu Bakar

Terdahulu Datuk Seri Anwar tiba di negeri itu sekitar pukul 4:30 petang tadi bagi meninjau sendiri keadaan banjir dan melawat penduduk terjejas.

Beliau diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dijadualkan ke acara yang berasingan.

Dalam siri lawatan kerja ke Kelantan, Perdana Menteri, turut meninjau ke kawasan terjejas banjir di Bandar Baru Apam Putera, Pasir Mas, kemudian tiba di PPS SMK Tengku Panglima Raja sekitar 5.40 petang tadi.

Media Baharu