fb fb fb fb fb

Banjir: Penduduk terjejas di Kelantan meningkat

FOTO APM PASIR MAS

PASIR MAS, 2 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan terus meningkat kepada 2,542 penduduk daripada 774 keluarga setakat pukul 11.00 malam tadi.

Portal InfoBencanaJKM memaklumkan, tiga lagi pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan sejumlah 14 PPS beroperasi setakat ini.

Tiga PPS berkenaan masing-masing di Pasir Mas iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi menempatkan 226 orang, PPS SK Sri Kiambang (163) dan PPS Masjid Mukim Padang Licin (46).

SK Gual To’ Deh turut menyaksikan peningkatan penduduk terjejas iaitu 572 orang, manakala PPS lain tiada merekodkan penambahan penduduk dipindahkan.

Laman sesawang Public InfoBanjir JPS pula melaporkan dua sungai utama di negeri itu mencatat air melebihi paras bahaya, setakat pukul 11.00 malam.

Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas merekodkan paras air 10.36 meter (m) dan Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu, 2.23 m.

SITI AISHAH BINTI MD ISA