fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir kekal 277 orang di dua daerah di Perak

Penduduk terjejas banjir di Perak kekal 277 orang/FOTO APM Hilir Perak

IPOH, 26 Oktober - Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak kekal 277 orang daripada 88 keluarga, menurut Sekretariat Jawatankasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

JPBN menerusi kenyataan, berkata jumlah itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak 8 pagi tadi dan tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka melibatkan dua daerah iaitu Hilir Perak dan Kerian.

JPBN memaklumkan di daerah Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 186 penduduk daripada 59 keluarga.

Mereka terdiri daripada penduduk Lorong Kedah; Lorong Belakang Klinik; Batu 9 Simpang 3; Batu 10; Batu 7 dan Lorong Sidang Osman.

Manakala 58 penduduk daripada 22 keluarga pula ditempatkan ke PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap.

Sementara itu, di daerah Kerian pula, PPS Sekolah Rendah Kebangsaan Changkat Lobak menempatkan 33 penduduk dari Kampung Matang Tengah.

Dalam pada itu, paras air Sungai Bidor setakat ini masih berada pada tahap bahaya.

Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tahap bahaya paras air dengan
ketinggian 3.93 meter berbanding 3.97 meter malam tadi melepasi paras normal iaitu 2 meter.

"Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama ditutup kepada semua kenderaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh mengguna laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Banjir Perak: Tiga PPS masih dibuka di dua daerah

Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak meningkat

Banjir, satu PPS di Hilir Perak dibuka

GRACE AISYAH KEDAYAN