fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak meningkat

Sungai Bidor setakat ini masih berada pada tahap bahaya/FOTO FAIL

IPOH, 25 Oktober - Keadaan banjir di Perak setakat pukul 10.00 malam menunjukkan peningkatan jumlah penduduk terjejas, iaitu sebanyak 277 orang daripada 88 keluarga berbanding 245 orang daripada 77 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam satu kenyataan berkata, mereka dipindahkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).

"Daerah Hilir Perak sebanyak 186 penduduk terjejas banjir daripada 59 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak melibatkan penduduk Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Batu 9 Simpang Tiga, Batu 7, Batu 9, Batu 10 dan Lorong Sidang Osman.

"58 orang daripada 22 keluarga dari Kampung Kilang Kacang dan Kampung Batu 9 Changkat Jong ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap," katanya.

PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Kerian pula menempatkan 33 penduduk daripada tujuh keluarga dari Kampung Matang Tengah.

Sementara itu, sekretariat tersebut memaklumkan paras air Sungai Bidor setakat ini masih berada pada tahap bahaya dengan ketinggian 3.97 meter (m) berbanding 4.11m, pagi tadi.

Jabatan Kerja Raya Perak berkata Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh sementara Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid dijadikan sebagai laluan alternatif.

TETITIA YUSOFF