fb fb fb fb fb

5,000 dijangka sertai program Masjid Tanah Berselawat, Sabtu ini

Pelbagai pengisian diatur pada program bermula seawal pukul 6.30 petang itu

MELAKA, 26 Oktober- Lebih 5,000 umat Islam dijangka berkumpul bagi Program Masjid Tanah Berselawat Malam Cinta Rasul di Dataran Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Sabtu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pelbagai pengisian diatur pada program bermula seawal pukul 6.30 petang itu.

Ia termasuk solat berjemaah, bacaan maulid qasidah, ceramah dan selawat puji-pujian kepada junjungan besar Nabi Muhammad (SAW).

Beliau yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, program itu akan turut diserikan dengan sesi ceramah disampaikan oleh pendakwah bebas, Ustaz Shamsul Debat.

"Jadi kita jemput orang ramai hadir awal kerana kedudukan tempat letak kereta yang terhad, kita galakkan kawasan setempat datang hadir dengan menaiki motosikal sahaja. Bawa sejadah, hamparan tempat duduk sendiri pada majlis tersebut juga kita undang Sheikh Abdul Karim Ar Marki. Jadi kita dapat merasai rasa suasana di Mekah," katanya.

Hameed ditemui pemberita selepas bersiaran dalam Segmen 'Apa Khabau YB' di Melakafm.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut dijangka hadir memeriahkan program selawat berkenaan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI