KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Seramai 217,705 pekebun kecil telah menerima manfaat Insentif Pengeluaran Getah (IPG), sejak 2015 hingga Ogos tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia melibatkan pembayaran berjumlah RM474.5 juta.
"Kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2024 telah bersetuju untuk menaikkan kadar Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi IPG dari RM2.70 ke RM3.00 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM400 juta.
"Kenaikan kadar insentif ini diharap dapat meringankan beban pekebun kecil ketika mana berlakunya ketidaktentuan dalam paras harga getah," katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan Dan Komoditi berkata selain IPG, projek rintis insentif pengeluaran lateks yang ditambah baik juga akan dilaksana.
Katanya, turut akan dilaksana ialah projek rintis penggunaan Gas Stimulan yang berupaya meningkatkan pengeluaran getah hingga tiga kali ganda.