fb fb fb fb fb

Isu Palestin: Mesyuarat luar biasa tergempar PBB berlangsung hari ini

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR, 26 Oktober- Mesyuarat Luar Biasa Tergempar Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai isu Palestin akan berlangsung 10 pagi waktu New York hari ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata permohonan bagi mengadakan mesyuarat tersebut dikemuka Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab dan ia disokong sembilan negara termasuk Malaysia.

"Terkini PBB meluluskan permohonan OIC dan Liga Arab dengan disokong Malaysia, Brunei, Bangladesh, Kemboja, Laos, Maldives, Indonesia, Timor Leste dan Vietnam untuk satu mesyuarat luar biasa tergempar di PBB mengenai isu Palestin yang akan dipengerusikan Presiden UNGA ke-78 pada jam 10 pagi waktu New York hari ini," katanya.

Tambahnya, Malaysia bercadang untuk menyertai sesi lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Februari tahun hadapan bagi mengemukakan kenyataan untuk mendapatkan pendapat nasihat berhubung isu Palestin.

“Sebelum ini Malaysia telah mengambil bahagian dalam mengemukakan kenyataan bertulis bagi mendapatkan pendapat nasihat berhubung isu Palestin yang diserahkan kepada pendaftar ICJ pada 25 Julai lepas dan kenyataan berkenaan memberi fokus kepada pencabulan hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri oleh Israel.

“Penyertaan Malaysia dan beberapa negara lain sepemikiran dalam proses untuk mendapat pendapat nasihat di ICJ berhubung isu Palestin melambangkan komitmen jitu dan berterusan negara dalam membantu mencari penyelesaian konkrit terhadap isu dan konflik di Palestin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu mengapa kerajaan belum menyatakan pendirian dan tindakan lebih tegas dalam isu konflik di Palestin seperti mendesak agar Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli mengenai usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengelilingi dunia mendapatkan penyelesaian isu Palestin, Zamry berkata perkara itu adalah pendekatan kali pertama kerana sebelum ini negara hanya banyak mengeluarkan kenyataan bantahan.

“Lantaran itu, dalam mesyuarat Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN-GCC lalu, perdana menteri ambil kesempatan bersama pemimpin ASEAN dan GCC untuk berinteraksi dengan mereka menyampaikan pendirian Malaysia dan beliau juga ambil kesempatan ke Riyadh, Turkiye dan Kaherah kerana itu adalah negara yang sangat penting dalam menentukan perjuangan kita selanjutnya.

“Setiap pemimpin mempunyai peranan dan dalam konteks perdana menteri, beliau ambil langkah lebih jauh untuk bersama dengan kalangan pemimpin Islam dunia termasuk pemimpin bukan Islam,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI