fb fb fb fb fb

Banjir Perak: Tiga PPS masih dibuka di dua daerah

Di daerah Hilir Perak sebanyak 186 mangsa daripada 59 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak

IPOH, 26 Oktober- Jumlah mangsa banjir di Perak kekal dengan 277 orang daripada 88 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah sejak 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak menerusi kenyataan memaklumkan, di daerah Hilir Perak sebanyak 186 mangsa daripada 59 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak melibatkan penduduk Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Batu 9 Simpang Tiga, Batu 7, Batu 9, Batu 10 dan Lorong Sidang Osman.

"Selain itu terdapat 58 mangsa daripada 22 keluarga dari Kampung Kilang Kacang dan Kampung Batu 9 Changkat Jong ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap. 

"PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Kerian pula menempatkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga dari Kampung Matang Tengah seperti malam tadi," menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Bidor setakat ini masih berada pada tahap bahaya dengan ketinggian 3.93 meter berbanding 3.97 meter malam tadi melepasi paras normal iaitu 2 meter. 

Sekretariat turut memaklumkan Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama ditutup kepada semua kenderaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh mengguna laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid. 

ZEHRA BINTI ZAMBRI