fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Perak meningkat kepada 2,496

Keadaan banjir di Perak

IPOH, 24 Oktober - Situasi banjir di Perak semakin membimbangkan apabila jumlah penduduk terjejas meningkat kepada 2,496 orang daripada 857 keluarga setakat pukul 4.00 petang tadi.

Sebanyak 24 pusat pemindahan sementara (PPS) kini dibuka di seluruh negeri itu melibatkan empat daerah iaitu Larut, Matang dan Selama, Manjung, Kerian dan Perak Tengah.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, daerah Larut, Matang dan Selama mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi melibatkan 1,813 penduduk daripada 645 keluarga yang kini ditempatkan di 19 PPS.

Manakala di daerah Manjung, tiga PPS beroperasi dengan 500 penduduk daripada 162 keluarga dipindahkan.

Sementara itu, dua PPS baharu turut dibuka melibatkan daerah Kerian dan Perak Tengah masing-masing dengan 84 penduduk daripada 22 keluarga dan 99 penduduk daripada 28 keluarga.

Bagaimanapun, PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Jana telah ditutup pada 12.00 tengah hari tadi selepas keadaan kembali terkawal di kawasan berkenaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI