SEBERANG PERAI, 24 Oktober - Di Pulau Pinang, seramai 749 penduduk daripada 225 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 3.00 petang tadi.
Menurut Portal Info Bencana JKM, ia susulan banjir yang melanda negeri itu sejak malam tadi.
Empat PPS dibuka di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), tiga di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan satu di Barat Daya.
Tinjauan RTM di Kampung Lahar Yooi mendapati hujan masih turun dan kawasan rumah penduduk ditenggelami air.
Kebanyakan penduduk terjejas sudah berpindah ke PPS namun ada juga penduduk yang belum berpindah.
Beberapa penduduk yang ditemui berkata, air mula naik seawal pukul 3.00 pagi.
Air naik dengan cepat dan mereka hanya sempat mengambil dokumen penting seterusnya bergegas menyelamatkan diri dan berpindah sementara ke PPS.
Mohd Jufri Farhan Jamilan berkata, air mula naik sekitar pukul 3.00 hingga 4.00 pagi ketika mereka sedang tidur lena.
"Amaran banjir bunyi waktu Maghrib tiga kali, tapi barang tak sempat angkat sebab hujan turun sekejap renyai sekejap lebat. Bila air naik paras lutut, saya tawakal saja. Saya tinggal bersama datuk berusia 85 tahun dan perlu menjaga warga emas itu," katanya.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Haris Ramli memaklumkan, mereka sekeluarga hanya tersedar selepas menerima panggilan jiran.
"Kami empat beranak tidur masa kejadian, tiba-tiba jiran telefon baru sedar air dah penuh dalam rumah. Barang berat dan perabot tak dapat diselamatkan, kereta pula hanya sempat dialih sekitar pukul 4.00 pagi ketika air naik dengan laju," ujarnya.
Sementara itu, Rohizal Mat Isa berkata, beliau terjaga selepas mendengar bunyi riuh orang kampung mengangkat barang.
"Sebelum itu hujan turun sejak semalam, air mula naik sedikit demi sedikit. Pada jam 4 pagi air terus melimpah depan rumah dalam keadaan cepat," katanya.
Nur Jannah Adenan pula berkata, paras air meningkat dari dapur ke ruang tamu dalam masa singkat.
"Masa itu kami dah tidur, anak yang kejutkan selepas dengar bunyi amaran. Semua enam ahli keluarga ada di rumah kecuali seorang yang berada di asrama. Sepatutnya kami pulang ke Langkawi, tapi terpaksa tunda kerana kejadian ini," ujarnya.
Kawasan SPU banjir berlaku akibat limpahan air Sungai Kulim serta taburan hujan yang tinggi selama hampir lapan jam.