fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Perak meningkat

FOTO Angkatan Pertahanan Awam Malaysia

IPOH, 30 Oktober- Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak setakat pukul 6.00 petang tadi, mencatatkan peningkatan kepada 280 orang daripada 229 orang yang direkodkan pada tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan memaklumkan, setakat ini tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di dua daerah yang terlibat.

Di Hilir Perak, PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak yang mencatatkan peningkatan penduduk terjejas menempatkan 128 orang daripada 40 keluarga.

Ia melibatkan enam kawasan yang terjejas antaranya, Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik,, Batu 9 Simpang 3, Batu 10, 9 dan 7, Lorong Sidang Osman serta Lorong Mesra.

PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di daerah Kerian pula menempatkan 77 penduduk daripada 19 keluarga melibatkan kawasan Kampung Matang Tengah, Kampung Changkat Lobak dan Kampung Beriai.

Manakala, PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pangsu yang baru dibuka pukul 3.00 petang tadi, telah menempatkan 75 penduduk daripada 18 keluarga yang melibatkan penduduk daripada Kampung Selekoh dan Kampung Beriah.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong yang mencatatkan paras bahaya iaitu 4.19 meter daripada paras normal 2.00 meter.

Tahap berwaspada turut dikeluarkan bagi Sungai Kerian di Selama dan Sungai Kinta Weir Tanjung Tualang yang sudah melebihi 10.00 meter ketika ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE