KUALA LUMPUR, 31 Disember- Jumlah penduduk terjejas banjir di tiga negeri iaitu Kelantan, Pahang dan Johor menunjukkan pengurangan kepada 1,483 individu di 15 pusat pemindahan sementara (PPS).
Berdasarkan laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat pukul 8.00 malam tadi, jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan terus berkurangan kepada 1,395 individu di 11 PPS.
Menurut laporan itu, PPS di Kelantan melibatkan dua di Pasir Mas yang menempatkan 334 individu, lapan di Tumpat (1,045 individu) dan satu di Kuala Krai (16 individu).
Di Pahang pula, bilangan penduduk terjejas banjir kekal 34 orang yang masih berlindung di dua PPS di Maran, manakala 87 individu yang terlibat dengan insiden tanah runtuh di Cameron Highlands kekal berada di sebuah PPS yang dibuka di daerah itu.
Sementara itu jumlah penduduk terjejas banjir di Johor juga tidak berubah, kira-kira 54 individu masih ditempatkan di dua PPS di Segamat malam ini.
Bagi perkembangan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati empat sungai berada pada paras bahaya.
Dua sungai mencatatkan trend menurun iaitu Sungai Pulai di Johor Bahru, Johor dan; Sungai Golok di Pasir Mas, Kelantan masing-masing mencatakan paras 4.41 meter dan 9.47meter.
Bagi dua sungai di Sungai Perak di Hulu Perak, Perak dan Sungai Arau di Arau, Perlis pula mencatatkan trend meningkat masing-masing mencatakan paras 111.9 meter dan 23.79 meter.
Laporan itu juga menyatakan terdapat 35 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak atau runtuh dan tanah runtuh.
Jalan terlibat antaranya ialah Jalan Jabi-Bukit Tempurung, Segamat di Johor; Jalan Kota Bharu-Pasir Mas-Rantau Panjang (Kelantan); Jalan Marang-Wakaf Tapai (Terengganu) dan Jalan Kuala Lumpur-Bentong (Jalan Lama Bentong) di Pahang serta Jalan Bukit Jugra di Selangor.