fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir di Kedah meningkat kepada 1,708

Foto BERNAMA

POKOK SENA, 25 Oktober -Penduduk terjejas banjir di Kedah meningkat kepada 1,708 orang setakat pukul 10.00, malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kedah dalam kenyataan memaklumkan, kesemua mereka ditempatkan di 18 Pusat Permindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di enam daerah di seluruh negeri.

"Daerah Kulim mencatat jumlah tertinggi dengan 1,113 penduduk daripada 333 keluarga ditempatkan di lapan PPS. Diikuti Baling yang menempatkan 347 penduduk daripada 117 keluarga di lima PPS.

"Daerah Sik, yang baharu dilanda banjir, menempatkan 79 penduduk daripada 23 keluarga di dua PPS, manakala Padang Terap menempatkan 40 penduduk daripada 14 keluarga di sebuah PPS," menurut kenyataan itu.

Di Pokok Sena, seramai 88 penduduk daripada 26 keluarga dipindahkan ke satu PPS yang dibuka, manakala di Pendang, 45 penduduk daripada 12 keluarga ditempatkan di Dewan Badminton Kompleks Sukan Tanah Merah.

TETITIA YUSOFF