fb fb fb fb fb

Penduduk Malaysia kini menjangkau 34 juta orang

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Mei - Penduduk Malaysia pada suku tahun pertama 2024, dianggarkan berjumlah 34.0 juta, meningkat 2.3 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 iaitu hanya 33.2 juta.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata, jumlah itu berdasarkan hasil laporan berkaitan Perangkaan Demografi yang memaparkan data penduduk, kelahiran hidup dan kematian bagi suku tahun pertama 2024.

Menurutnya, peningkatan penduduk negara disumbangkan oleh pertambahan semula jadi yang positif bagi warga negara dan juga pertambahan penduduk bukan warganegara.

Jumlah penduduk berkenaan merangkumi 30.6 juta warganegara dan 3.4 juta bukan warganegara.

Penduduk lelaki negara meningkat kepada 17.8 juta daripada 17.4 juta pada suku tahun pertama 2023 dan perempuan pula meningkat kepada 16.1 juta daripada 15.8 juta bagi tempoh yang sama.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD