REPUBLIK KYRGYZ, 15 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bishkek, Republik Kyrgyz untuk memulakan lawatan rasmi selama dua hari.
Pesawat khas membawa Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Manas pada pukul 10.20 malam tadi waktu tempatan.
Ketibaan Anwar dan delegasi disambut Pengerusi Menteri Kabinet Republik Kyrgyz, Akylbek Zhaparov dan Duta Besar Malaysia ke Republik Kyrgyz dan Uzbekistan, Ilham Tuah Illias.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Perdana Menteri dijadual memulakan lawatan rasmi dengan menyaksikan upacara penghormatan di tapak peringatan, Ata- Beyit, Bishkek.
Beliau kemudiannya akan diberi sambutan rasmi oleh kerajaan Republik Kyrgyz di Kediaman Negara Ala Archa, sempena lawatan sulungnya ke negara Asia Tengah itu.
Sejurus selepas itu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Japarov serta mesyuarat dua hala antara Malaysia dan Kyrgyzstan.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka menandatangani kenyataan bersama.
Anwar turut dijadual akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Pengerusi Menteri Kabinet Republik Kyrgyz.
Beliau juga akan menghadiri majlis resepsi yang dihoskan Japarov.
Manakala pada hari kedua lawatan, Anwar dijangka akan ke Taman Negara Ala Archa sebelum berlepas ke Kazakhstan untuk lawatan seterusnya.