BESUT, 14 Mei - Pasukan Bomba berjaya menyelamatkan 5.4 hektar kawasan pusat pelupusan sampah dekat Kampung Paya Rawa, daripada terbakar petang tadi.
Cuaca panas berterusan menyebabkan kira-kira 0.6 hektar kawasan berkenaan terbakar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata kerja-kerja pemadaman kebakaran itu mengambil masa selama 3 jam.
Menurutnya, 13 anggota serta pegawai bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender dan Mini Water Treller bergegas ke lokasi kejadian.
Kerja-kerja pemadaman berdepan kesukaran kerana sumber air yang jauh dan faktor timbunan sampah yang tebal.
Bagaimanapun kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya dengan bantuan pekerja syarikat projek Laluan Rel Pantai Timur, ECRL dan Majlis Daerah Besut.
Tambah Muhammad Azrul, sebanyak 143 kes kebakaran belukar, 25 kes kebakaran hutan dicatatkan sejak Januari lalu.
Antara kawasan yang dikenalpasti berpotensi mencetuskan kebakaran adalah Gong Kepah, Bukit Keluang, Tembila dan Paya Rawa.