KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Kira-kira 600 penduduk Kampung Sungkup, Kedah mengalami masalah liputan telekomunikasi selepas menara yang disediakan bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) diceroboh.
Menurut kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), kejadian tersebut dilaporkan oleh penduduk kampung kepada Pejabat MCMC Negeri Kedah pada Ahad, 15 Oktober lalu apabila mendapati terdapat kesan vandalisme termasuk kabel dipotong dan peralatan dicuri.
"Pejabat MCMC Negeri Kedah pada hari sama telah bergegas ke lokasi kejadian membuat tinjauan bersama pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik menguruskan menara berkenaan. Laporan polis turut dibuat penyedia perkhidmatan," kata kenyataan itu.
(Foto Hiasan)
Menara telekomunikasi tersebut menyediakan perkhidmatan telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile melalui kaedah perkongsian 4G MOCN (Rangkaian Teras Operator Berbilang).
MCMC ketika ini sedang mempertimbangkan beberapa langkah untuk memulihkan kembali perkhidmatan telekomunikasi di sekitar Kampung Sungkup.
Perbuatan khianat yang dilakukan itu telah menyebabkan perkhidmatan kesemua rangkaian tersebut tidak dapat beroperasi.
Perbuatan merosakkan kemudahan telekomunikasi boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 235, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.