fb fb fb fb fb

Melaka angkat martabat sejarah tokoh negeri

Foto FB Menteri

AYER KEROH, 17 Oktober- 'Pertandingan Melestarikan Sejarah Sekolah Berasaskan Nama Tokoh Tersohor' di Melaka merupakan satu usaha kerajaan negeri dalam mengangkat sejarah tokoh tersohor negeri itu.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kajian yang telah dilaksanakan oleh pihaknya agar nama tersebut diwartakan, sebagai tokoh yang mempunyai nilai sejarah dan budaya yang tinggi terhadap negeri bersejarah itu.

Beliau mahu warga sekolah serta generasi muda khususnya mengenali tokoh-tokoh tersohor di sebalik nama sekolah mereka agar mereka lebih cakna, mencintai dan berbangga tentang asal-usul nama sekolah masing-masing.

"Saya amat berterima kasih kepada Pengarah Pendidikan negeri Melaka, Tuan Haji Mohd Ghazali bin Ahmad yang telah menyahut saranan kerajaan negeri menjalankan program ini.

Peristiwa ini amat penting dan menjadi satu kenangan serta rujukan kepada generasi pelajar yang bersekolah dalam mendalami tokoh-tokoh negara tersohor sekali gus menjadikan mereka itu sebagai sumber inspirasi untuk lebih berjaya dan maju lagi," kata Ab Rauf kepada pemberita.


(Foto FB Menteri)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Anugerah Pendidikan, Pertandingan Pantun Dan Pertandingan Melestarikan Sejarah Sekolah Berasaskan Nama Tokoh Tersohor Negeri Melaka Tahun 2023 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MiTC), di sini.

Menurutnya, sebanyak 43 buah sekolah yang terlibat dalam program itu meliputi 14 buah sekolah rendah, 27 sekolah menengah dan dua kolej vokasional.

Pertandingan tersebut terbahagi kepada dua iaitu kategori A bagi sekolah yang mempunyai sumber yang jelas dan mudah diperoleh manakala Kategori B bagi sekolah yang tidak mempunyai sumber yang jelas dan sukar diperoleh.

Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin telah dinobatkan sebagai johan keseluruhan peringkat negeri dalam Pertandingan Melestarikan Sejarah Sekolah Berasaskan Nama Tokoh Tersohor Negeri Melaka.

 

Media Baharu