PUTRAJAYA, 17 Oktober- Belanjawan 2024 memberi satu kerangka yang menyeluruh dalam menyediakan keselesaan semaksimum mungkin kepada rakyat.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,belanjawan kali ini menumpukan kepada aspek kebajikan rakyat khususnya daripada segi pendidikan, kesihatan dan mengurangkan hutang negara.
"Ia perlu dilihat latar belakang kekuatan ekonomi, keutuhannya, kestabilan politiknya, keupayaan kita melangsaikan hutang dan juga menyelesaikan beberapa kerangka ekonomi makro yang asas,"
Teguran yang kita dapat, mengapa kita harus turunkan defisit? Mengapa perlu kita langsaikan hutang? Kalau kita terus dengan defisit yang membengkak, pelabur tidak yakin. Maksudnya, negara itu tidak diurus dengan baik dan bertanggungjawab," kata Anwar dalam ucapannya pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, di sini pagi tadi.
Menurut beliau lagi, masalah-masalah prasarana, kemudahan asas dan pendidikan juga diberi perhatian bagi manfaat pertumbuhan negara.
Justeru, ia menjadi tanggungjawab jentera kerajaan untuk memperjelaskan dan memberi penerangan mengenai intipati Belanjawan 2024 kepada rakyat dalam memberi maklumat usaha-usaha kerajaan dalam memperkasakan masyarakat.
(FOTO BERNAMA)