fb fb fb fb fb

Penduduk Kampung Jerek bimbang kehadiran beruang matahari

GUA MUSANG, 11 Oktober- Lebih 3,000 penduduk di Kampung Jerek, Gua Musang, Kelantan berada dalam kebimbangan apabila tiga ekor beruang matahari dikesan berkeliaran di kawasan kampung itu dan membuat sarang di atas pokok rambutan sejak dua bulan lalu.

Penduduk kampung mendakwa salah seekor beruang terbabit telah membuat sarang di atas sebatang pokok rambutan, manakala seekor lagi dengan seekor anaknya bersarang di dalam lubang di dalam tanah kawasan berhampiran.

Seorang penduduk Kampung Jerek yang ditemui RTM Sribani Zakaria berkata, seekor beruang dewasa dilihat berada di sekitar rumahnya dan membuat sarang di atas pokok rambutan yang terletak di belakang rumahnya.

"Beruang terbabit dipercayai kelaparan apabila kerap mencari makanan termasuklah buah-buahan dan sisa sampah.

"Sebelum ini jarang beruang ini datang ke sini, tetapi tahun ini kerap haiwan itu datang ke sini. Kebetulan musim buah, jadi haiwan itu datang untuk makan buah. Selalunya beruang itu akan datang pada waktu malam, waktu sunyi. Kita dengar bunyi sahaja, apabila disuluh dia akan lari. Kami takut juga sebab beruang itu tepi rumah," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu bagi Sabariah Mohamed Sayuti berkata "beruang itu berkeliaran di belakang rumah dekat dengan kawasan kampung ini. Pokok rambutan dijadikan sebagai lokasi untuk haiwan itu membuat sarang. Minggu lepas kami sudah laporkan perkara ini kepada Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan). Perangkap juga telah dipasang, namun tidak mengena, saya harap Perhilitan boleh ambil langkah lain untuk tangkap beruang ini."

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, mereka telah menerima aduan pada 5 Oktober lalu dan telah ke lokasi berhampiran Hutan Simpan Kekal Ulu Temiang.

Bagaimanapun ukuran tapak tidak dapat diperolehi kerana lokasi penemuan haiwan tersebut telah dibasahi hujan dan pemasangan sebuah perangkap telah dilaksanakan di bahagian belakang rumah pengadu.

Khidmat nasihat telah diberikan dan PERHILITAN telah menyarankan pengadu agar memasang lampu di halaman rumah pada waktu malam serta selalu berteman ketika hendak melakukan kerja-kerja pemantauan ternakan di kandang atau ke kebun.

(Sribani Zakaria)

Media Baharu