fb fb fb fb fb

Berganding bahu lindung, pelihara pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah

IPOH, 11 Oktober- Umat islam wajib berganding bahu bagi memastikan pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah dilindungi, dipelihara, difahami dan dihayati.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perkara itu disebabkan ancaman ke atas pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah dilakukan secara terang-terangan dan berselindung oleh musuh Islam melalui gerakan batiniah tertentu.

"Ancaman tersebut dilakukan melalui tindak tanduk individu yang mempamerkan diri mereka sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya, namun pada hakikatnya, mereka membawa ajaran yang menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar.

"Usaha meningkatkan kefahaman mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah dapat dijamin, juga untuk melengkapkan ummah dengan fahaman yang jelas agar lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan ke atas diri, keluarga, masyarakat mahupun negara," titah Sultan Nazrin ketika berkenan merasmikan Majlis Muzakarah Sultan Nazrin Shah bertemakan 'Memperkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah Sebagai Firqah Najiah' Tahun 2023 di sini.

Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah disifatkan sebagai ajaran betul, lurus, selamat, jelas serta tiada kekeliruan di dalamnya.

Tambah baginda, pegangan berkenaan merupakan warisan jati diri umat Islam di negara ini sejak agama Islam mula bertapak di Tanah Melayu.

Program peringkat Antarabangsa itu melibatkan Pemimpin, Cendekiawan dan Ulama' dari Negara-negara Islam Timur Tengah dan Rantau Asean merangkumi Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

(Sultan Nazrin Muizzuddin Shah)

Media Baharu