fb fb fb fb fb

Pendidikan berkualiti, berihsan pemangkin Malaysia hebat - PM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 4 November -  Pendidikan yang berkualiti bukan semata-mata berasaskan kemahiran dan teknologi baharu, sebaliknya perlu disertai dengan nilai kemanusiaan, empati dan ihsan yang menjadi teras konsep Malaysia MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini sekali gus mampu mengangkat martabat negara ke tahap lebih tinggi serta membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Beliau ketika berucap merasmikan IJN University College (IJNUC) menjelaskan, institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang akademik malah berjiwa kemanusiaan dan memahami tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Dalam ucapan sama, Datuk Seri Anwar berkata penubuhan IJNUC menjadi cerminan sinergi antara kemahiran dan kepakaran ulung negara.

"IJN bukan sahaja menyediakan rawatan bertaraf dunia, malah turut berperanan sebagai pusat ilmu yang melahirkan generasi profesional yang seimbang, baik dari segi ilmu, etika mahupun ihsan.

"Pendidikan dan kesihatan merupakan dua bidang yang menerima peruntukan terbesar dalam belanjawan. IJNUC menggabungkan pendidikan dan kesihatan yang menjadi tumpuan kita dalam agenda perubahan dan pembangunan negara," katanya sambil menegaskan keperluan negara untuk lebih prihatin, empati dan ihsan kepada rakyat agar tidak tercicir dalam mendapatkan rawatan dan perubatan yang baik.

Perdana Menteri turut menekankan komitmen kerajaan untuk mencari serta mengumpul dana bagi memastikan IJN terus diberi perhatian sewajarnya kerana institusi itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dalam bidang kesihatan negara.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN