
KOTA KINABALU, 17 Mei – Pendekatan tanpa stigma dan diskriminasi perlu terus diperkasa bagi memastikan penghidap HIV/AIDS dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti serta produktif dalam masyarakat.
- Ubah persepsi negatif terhadap HIV selaras perkembangan rawatan moden yang semakin efektif.
- Berikan sokongan dan keyakinan supaya penghidap berani jalani ujian dan rawatan tanpa rasa takut atau dipinggirkan.
- Majlis Red Ribbon mengumpul kira-kira RM400,000 untuk sokongan program bantuan serta rawatan di Sabah dan Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib menegaskan, persepsi negatif terhadap penyakit itu perlu diubah selaras dengan perkembangan rawatan moden yang semakin efektif.
“Masyarakat harus memahami bahawa HIV bukan lagi satu penyakit yang wajar dipandang dengan prejudis, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak.
“Penting untuk kita beri keyakinan kepada mereka agar berani tampil menjalani ujian dan mendapatkan rawatan tanpa rasa takut atau dipinggirkan. Dengan rawatan yang ada hari ini, mereka mampu menjalani kehidupan hampir normal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Minum Petang Red Ribbon Kota Kinabalu anjuran Malaysian AIDS Foundation (MAF), di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, majlis berkenaan berjaya mengumpul kira-kira RM400,000 yang akan disalurkan bagi menyokong program bantuan serta rawatan kepada penghidap HIV/AIDS di Sabah dan Sarawak.