KUALA LUMPUR, 18 Januari- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menetapkan tujuh fokus utama pada tahun 2023 melalui pendekatan berteraskan komuniti dan kerjasama dalam sains, teknologi dan inovasi (STI) bagi menyelesaikan masalah rakyat dan negara.
Menterinya Chang Lih Kang berkata, ia melibatkan pemajuan Model Pembangunan Sistem Pencegahan Ancaman Bencana Alam, Kesihatan dan Bekalan Makanan Negara.
Enam lagi fokus lain yang ditetapkan iaitu Pembangunan Sistem Pintar untuk Komuniti Bandar-Luar Bandar Terhubung, pelaksanaan inovasi sosial berteras akar umbi dan teknologi tempatan serta penyelesaian cabaran industri dan kerajaan melalui MYHackathon.
"Kita akan menggunakan sains dan teknologi untuk membantu negara serta rakyat bagi menyelesaikan masalah kita hadapi.
"Tiada makna sekiranya kita memiliki teknologi yangh canggih tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah negara atau rakyat," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Majlis Amanat Menteri MOSTI di sini.
Pengiktirafan kepada teknologi tempatan di dalam perolehan kerajaan melalui Program MySTI, pembangunan dan pengaplikasian teknologi termaju seperti nanoteknologi dan robotik.
Bagi memperkukuh pembangunan bakat sains dan teknologi, MOSTI turut menetapkan Program Upskilling for Deeptech and Futureskills untuk meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja negara.
Manakala Program MyTechlympics akan dilaksanakan bagi memupuk minat pelajar dan belia dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
(Chang Lih Kang)