Pendekatan bersepadu perkukuh ekonomi Bumiputera

Datuk Mohd Shahar Abdullah

KUCHING, 14 April- Kerajaan terus mempergiat usaha memperkukuh ekonomi Bumiputera menerusi pendekatan lebih bersepadu dan berimpak tinggi selaras pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus pada pertumbuhan bernilai tinggi, peningkatan produktiviti serta pembangunan inklusif dan mampan melalui inisiatif berimpak tinggi.
  • Penyelarasan agenda Bumiputera dijalankan melalui Majlis Ekonomi Bumiputera sebagai platform merentas kerajaan Persekutuan, negeri, kementerian dan agensi.
  • Pelan Transformasi Bumiputera (Putra35) sebagai komitmen kerajaan untuk menguasai rantaian nilai dan mencipta kekayaan mampan, disokong teras strategik dan pelbagai inisiatif.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata inisiatif yang digerakkan itu memberi penekanan kepada pertumbuhan bernilai tinggi, peningkatan produktiviti serta pembangunan inklusif dan mampan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.

Menurut beliau, pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera turut diselaras melalui Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebagai platform penyelarasan dasar merentasi kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, kementerian dan agensi berkaitan.

“Agenda ini digerakkan selari dengan keutamaan nasional melalui Rancangan Malaysia Ke-13 dan kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan pertumbuhan bernilai tinggi, peningkatan produktiviti serta pembangunan inklusif dan mampan,” katanya ketika berucap pada Majlis Teraju Aspirasi Outreach Sarawak 2026 di sini.

Tambah beliau, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putra35) bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan Bumiputera mampu menguasai rantaian nilai serta mencipta kekayaan secara mampan.

Beliau berkata pelan berkenaan disokong tiga teras strategik dan diterjemahkan melalui lebih 100 inisiatif melibatkan pelbagai kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).