SEPANG, 15 November - Empat elemen keselamatan dikenal pasti sebagai teras utama bagi memastikan kesejahteraan penunggang sektor penghantaran (p-hailing) di jalan raya.
Ia meliputi penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), kolaborasi strategik dengan agensi keselamatan, penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pendidikan keselamatan berterusan.
Ketua Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Pos Malaysia, Nurul Hidayah Mohamed Ghozali, berpendapat, pendekatan tersebut penting bagi membentuk budaya kerja selamat dalam kalangan penunggang yang terdedah kepada pelbagai risiko ketika menjalankan tugasan harian.
Beliau menambah kerjasama dengan agensi dan pemain industri membolehkan amalan keselamatan diperkuatkan, serta membuka ruang perkongsian ilmu untuk penambahbaikan latihan dan prosedur operasi.
"Bila kita buat kajian data kemalangan yang lepas, kita lihat apa yang boleh ditambah baik.
"Kerjasama ini membolehkan kita mencari ruang yang boleh kita cari penyelesaian terhadap masalah tersebut." katanya selepas sesi sesi perbincangan bertemakan Memajukan Keselamatan Motosikal: Dasar, Inovasi dan Amalan” di Kongres Keselamatan Jalan Raya 2025.
Menurut Nurul Hidayah, penggunaan teknologi dan AI membolehkan sistem telematik dan papan pemuka keselamatan menilai kelakuan penunggang, termasuk pecutan mendadak, membrek secara kasar, atau keletihan, yang boleh meningkatkan risiko kemalangan.
Selain itu, pendidikan keselamatan perlu diterapkan secara konsisten melalui komunikasi berterusan antara majikan dan pekerja, agar penunggang memahami tanggungjawab mereka terhadap keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan jalan raya perlu diterapkan sejak peringkat awal, bagi mengurangkan risiko kemalangan secara menyeluruh dan memastikan kesejahteraan penunggang p-hailing.