fb fb fb fb fb

Pendakwaan awal tidak mencukupi, siasatan LCS mesti diteruskan

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 14 Mac - Pendakwaan peringkat awal dalam kes ketirisan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) tidak mencukupi.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata siasatannya mesti diteruskan kerana ia melibatkan skandal berskala besar.

"Jawapan SPRM, peringkat kedua mereka akan teruskan tapi bukan urusan saya untuk mendalami, tanya lebih daripada itu, kalau saya buat begitu ada lagi tuduhan pendakwaan terpilih tapi saya tegaskan di sini siasatan mesti diteruskan termasuk LCS kerana tindakan sebelum ini tak cukup untuk membongkar dan bertindak kepada orang-orang lebih utama yang dikatakan terlibat, jadi biar siasatan itu diteruskan," kata beliau bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, mengenai keseriusan kerajaan dalam mengambil tindakan terhadap tata kelola yang tidak telus termasuk LCS.

(Foto fail)

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, arahan beliau kepada SPRM adalah menyeluruh, tidak tertumpu kepada parti politik tertentu sahaja.

Justeru beliau menggesa agar pembangkang segera berhenti menuduh kononnya beliau campur tangan dalam sebarang kes pendakwaan berkaitan rasuah.

Setiap dakwaan perlu disertakan bukti dan fakta kukuh bagi mengelak ia menjadi fitnah.

Media Baharu