PUTRAJAYA, 20 November - Pendaftaran Fasa kedua sistem Pangkalan Data Utama (PADU) hanya akan dibuka secara terperinci selepas mendapat kelulusan Kabinet.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pihaknya dan Kementerian Kewangan sedang memperhalusi beberapa perkara termasuk kriteria kelayakan.
"Perbincangan di antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi dibuat menerusi mesyuarat minggu lepas dan perancangan mengenai garis masa pelaksanaan sedang dibincangkan.
"Perkara ini akan dibawa ke kabinet dan selepas persetujuan dicapai, garis masa pelaksanaannya akan diputuskan," kata Rafizi.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran program realiti televisyen inovasi yang diterbitkan Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, di sini.
Tambahnya, fasa kedua sistem PADU adalah untuk memberi peluang kepada mereka yang belum mendaftar untuk berbuat demikian.