KUALA LUMPUR, 22 Mac - Jumlah peratusan pendaftaran keseluruhan harta intelek tempatan meningkat sebanyak 23.5 peratus.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dari tahun 2016 hingga kini, kementerian menerima sebanyak 318,355 permohonan dan pemfailan harta intelek.
Permohonan dan pemfailan harta intelek itu melibatkan 129,348 permohonan tempatan dan 189,007 permohonan luar negara.
Dari jumlah keseluruhan tersebut juga , sebanyak 225,171 harta intelek telah didaftarkan.
(Alexander menjawab pertanyaan wakil Betong, Datuk Robert Lawson Chuat dalam waktu-waktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat/FOTO PARLIMEN)
"Manfaat yang diperolehi daripada pendaftaran harta intelek kepada pemilik berdaftar adalah sangat luas. Pemilik mendapat hak eksklusif untuk membuat, menjual, menyewa atau menggunakan harta intelek bagi tujuan perdagangan atau perniagaan, selain perlindungan dan penguatkuasaan dibawah perundangan harta intelek yang membolehkan pemilik berdaftar mengambil tindakan undang-undang keatas penyalahgunaan harta inteleknya tanpa kebenaran,"
Pendaftaran juga memberi nilai tambah dalam produk perniagaan pemilik untuk memasarkan produk ke luar negara serta merupakan antara syarat mendapatkan geran-geran pembiayaan perniagaan daripada kerajaan," kata Alexander di sini.
Pendaftaran harta intelek yang meliputi paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta dan petunjuk geografi membolehkan pemilik harta intelek mendapatkan hak eksklusif terhadap harta intelek mereka dibawah Perundangan Harta Intelek.