fb fb fb fb fb

Pencemaran udara, busuk sampah jejas penduduk

Lebih 5,000 penduduk dan pengguna Jalan Gua Musang-Lojing terdedah pencemaran udara dan bau busuk sampah sejak dua tahun lalu.

GUA MUSANG, 21 Julai - Lebih 5,000 penduduk dan pengguna Jalan Gua Musang-Lojing mendakwa berdepan pencemaran udara dan bau busuk sampah sejak dua tahun lalu.

Pencemaran akibat pembakaran terbuka di tapak pelupusan sampah sementara di Kampung Kundur.

Setiap hari, laluan utama itu dipenuhi asap tebal berpunca daripada tindakan membakar sampah buangan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM).

Penduduk, Nasir Majid berkata, asap yang tebal bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah membahayakan pengguna jalan terutama penunggang motosikal.

“Asap ini bukan jerebu, tapi memang sebab orang bakar sampah.

"Sampah pun macam-macam dibuang, (ada) sisa makanan, batu, kayu. Bahaya untuk jalan raya, penglihatan terhad,” katanya.

ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim pula menggesa, kerajaan persekutuan memberi perhatian segera terhadap isu itu dan memohon peruntukan khas bagi penyelesaian jangka panjang.

“Saya harap Ahli Parlimen dapat bangkitkan isu ini di Dewan Rakyat.

"Sampai bila kawasan ini harus terbiar begini? Kementerian seperti KPKT, KASA dan PBT perlu duduk semeja cari penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, YDP MDGM, Mohd Roshdi Ismail menjelaskan, pihaknya memerlukan lebih RM2 juta untuk membuka semula tapak pelupusan sampah yang diwartakan di RKT Kesedar Renok.

“Kita sedang bincang dengan JKR dan pihak kilang di kawasan itu. Jika tiada peruntukan, kita akan buat permohonan rasmi,” katanya.

Jalan Gua Musang-Lojing menjadi laluan penting bagi penduduk Kuala Betis, Felcra Panggong Lalat, Tanah Tinggi Lojing dan Cameron Highlands.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN