KUALA LUMPUR, 21 Julai - Terdapat kelemahan dalam pelaksanaan, pemantauan serta tindakan penguatkuasaan program minyak masak bersubsidi berdasarkan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, kelemahan yang dikenal pasti itu termasuk isu penjualan minyak masak subsidi melebihi had, penjualan terbuka kepada semua kategori pengguna dan ketidakpatuhan terhadap Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA).
Kelemahan lain ialah harga minyak subsidi melebihi harga kawalan yang ditetapkan, tiada SOP bagi pengurusan minyak masak subsidi rosak dan ketiadaan sijil halal.
“Dasar sedia ada juga tidak menetapkan agihan minyak masak kepada golongan sasaran yang memerlukan dan layak diberikan bantuan dengan warga asing turut mendapat faedah daripada bantuan subsidi minyak masak yang diberi oleh kerajaan,” menurut laporan itu.
Penemuan juga mendapati antaranya sebanyak 55,167 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi telah dijual kepada pihak tidak layak seperti kedai makan, restoran, penjaja dan badan bukan kerajaan yang tidak mematuhi perenggan 7.3.4 (g) SOP Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
Selain itu, 713,442 kg minyak masak didapati dijual melebihi had pembelian yang menetapkan tiga peket bagi setiap transaksi untuk seorang pelanggan seperti ditetapkan dalam surat KPDN pada 21 Julai 2022.
Laporan itu juga memaklumkan terdapat manipulasi maklumat jualan oleh pemborong dan peruncit, iaitu perbezaan maklumat transaksi jualan dalam buku stok melibatkan 13,124 kg minyak masak serta harga jualan minyak masak bersubsidi antara RM2.60 hingga RM4 sepeket melebihi harga kawalan RM2.50.
Selain itu, tiada tatacara jelas berkenaan pengurusan minyak masak rosak serta kawalan terhadap penjualan minyak masak yang rosak mengakibatkan dua syarikat menyimpan 942 kg minyak masak rosak untuk dijual kepada peraih minyak masak terpakai dan 16 syarikat terlibat dalam pembungkusan semula minyak masak rosak.
"Sembilan atau 12.5 peratus daripada 72 sampel syarikat pembungkus tidak memiliki pensijilan halal manakala enam daripadanya mencetak penandaan halal pada plastik pembungkusan minyak masak walaupun tidak mempunyai pensijilan halal," menurut laporan itu.
Sehubungan dengan itu, KPDN disyorkan menyemak dan menambah baik SOP COSS secara berkala untuk menangani jurang pelaksanaan program sedia ada, termasuk pengurusan minyak masak rosak dan pemantauan pensijilan halal selain menetapkan dasar penyaluran bersasar agar subsidi hanya diperoleh golongan isi rumah yang layak mengikut kriteria dan syarat ditetapkan.
KPDN juga perlu menggunakan sistem digital seperti sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) secara menyeluruh bagi pemantauan masa nyata terhadap rekod jualan dan agihan minyak masak bersubsidi untuk mengurangkan manipulasi data dan ketidakpatuhan selain mewajibkan pengauditan dalaman secara berkala dan pengesanan silang terhadap buku stok dan sistem pelaporan jualan di semua peringkat.
Audit juga menyarankan KPDN melihat semula peraturan sedia ada bagi tujuan mengawal selia kepatuhan pemegang lesen seperti tindakan menggantung atau menarik balik Lesen CSA terhadap mereka yang didapati melanggar syarat termasuk mempunyai dua lesen di alamat sama.
"KPDN disyor memantau harga runcit minyak masak bersubsidi secara agresif melalui kerjasama dengan agensi penguat kuasa seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan pematuhan harga kawalan RM2.50 sepeket," menurut laporan itu.
KPDN juga dicadangkan supaya membangunkan tatacara pengurusan minyak rosak yang komprehensif merangkumi kaedah pelupusan, pengesanan awal, larangan pembungkusan semula, mewajibkan pengisytiharan minyak rosak dan pelaporan bagi tujuan pemantauan dan rekod.
Turut disyorkan ialah meletakkan syarat wajib pensijilan halal kepada semua syarikat pembungkus minyak masak bersubsidi sebagai antara syarat lesen serta melaksanakan tindakan undang-undang terhadap syarikat yang mencetak logo halal palsu mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, selain penyaluran subsidi melalui Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) perlu diperluas.-BERNAMA