fb fb fb fb fb

Pencegahan awal penyakit kurangkan beban kesihatan negara

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.-Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 15 Disember - Penekanan serius terhadap aspek pencegahan penyakit melalui perubahan tingkah laku dan saringan awal antara langkah intervensi ke arah memastikan rakyat kekal sihat serta mengurangkan kebergantungan kepada rawatan hospital pada usia tua.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mempromosikan penjagaan kesihatan, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Termasuk, pendekatan ‘behavior change’ menerusi inisiatif 'War on Sugar' atau Pelan Strategik Mengurangkan Pengambilan Gula dalam kalangan rakyat.

“Pendekatan melalui inisiatif 'war on sugar' antaranya dengan menumpukan kepada usaha mendidik berbanding pendekatan punitif, termasuk reformulasi produk makanan dan minuman melalui Program Pemakanan Lebih Sihat atau Healthier Dining Program dan pelaksanaan logo Pilihan Lebih Sihat.

"Ia bagi membantu pengguna membuat pilihan produk yang lebih sihat serta pengenalan sistem pergredan baharu berdasarkan kandungan gula, iaitu Nutri-Grade, yang akan dilaksanakan secara mandatori pada tahun 2026,” jelas beliau.

Selain itu, KKM turut melaksanakan pengenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula secara berperingkat, bermula dengan kadar 40 sen seliter pada 1 Julai 2019, diikuti peningkatan kepada 50 sen seliter pada 1 Januari 2024, dan seterusnya dinaikkan kepada 90 sen seliter berkuat kuasa 1 Januari 2025.Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Kementerian Kesihatan di Dewan Negara.

ASHRIQ FAHMY AHMAD