KUALA LUMPUR, 15 Disember – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk yang dijangka melanda beberapa negeri sehingga Khamis, 18 Disember.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di seluruh negeri Kelantan dan Terengganu.
Amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di negeri Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin, serta Johor di Mersing dan Kota Tinggi.
"Hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Perak (Hulu Perak dan Kuala Kangsar), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera) serta Johor (Segamat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru) untuk tempoh sama.
"Manakala, amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku sehingga Selasa (16 Disember) melibatkan negeri Pahang di Raub dan Bentong serta Sarawak iaitu di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah," katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihat untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca, laman media sosial rasmi MetMalaysia dan talian MET Malaysia 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.